Suspek benar-benar ada motif untuk bunuh imam Palestin

Astro Awani
April 21, 2018 15:01 MYT
Pasukan polis sedang menjalankan pemeriksaan awal di lokasi kejadian. - Foto Facebook MyCARE
Polis Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan dua lelaki yang menembak mati seorang imam dan pensyarah sebuah universiti swasta di Jalan Gombak awal pagi ini mempunyai motif untuk membunuh lelaki berbangsa Arab itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal itu susulan lebih daripada 10 das tembakan dilepaskan ke arah mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi ini.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa yang berusia 35 tahun itu keluar dari rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan solat subuh sebelum ditembak.
"Tembakan yang dibuat itu lebih daripada 10 das. Ini bermakna mereka (suspek) ini benar-benar hendak dan mempunyai motif untuk membunuh mangsa.
"Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan terperinci yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu berlaku," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Mazlan, pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan pada badan mangsa dan menemui dua kelongsong peluru di lokasi kejadian.
#imam #Jalan Gombak #Ketua Polis Kuala Lumpur #Kuala Lumpur #Mazlan Lazim #pensyarah universiti swasta #solat subuh
;