Suspek autistik boleh digari jika agresif - Polis
Bernama
Oktober 15, 2019 20:42 MYT
Oktober 15, 2019 20:42 MYT
Pegawai polis yang berhadapan dengan suspek dari golongan autisme dibenarkan mengguna gari sekiranya suspek dilihat terlalu agresif sehingga boleh mendatangkan ancaman kepada polis dan orang awam.
Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din bagaimanapun berkata penggunaan gari itu adalah langkah terakhir yang akan dilakukan selepas cara memujuk tidak berjaya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi golongan autisme yang dilancarkan pada 25 Mac lepas.
Katanya penghidap autisme biasanya amat sensitif tetapi boleh digari seperti individu normal jika tindakan mereka boleh mendatangkan ancaman.
"Tindakan menggari suspek autisme ini sebenarnya terpulang kepada sesuatu kes sebab setiap kes adalah unik. Jika suspek autisme itu agresif sehingga boleh mengancam keselamatan orang lain, tindakan kekerasan seminima yang boleh terpaksa diambil.
"Tindakan kekerasan itu adalah penyelesaian yang terakhir akan dibuat tapi sedaya upaya anggota atau pegawai polis akan membuat kaedah pujukan atau sebagainya terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas program Roadshow Autisme: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasrat dan Pegawai Modenisasi Pengurusan Organisasi Urusetia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) SAC Munusamy Rengasamy.
Mengulas mengenai SOP kepada pegawai polis yang baharu dilancarkan itu, Ramli berkata ia adalah sebagai garis panduan kepada pegawai polis yang berada di lapangan.
"Ia menjadi garis panduan kasar untuk mengenal pasti individu yang menghidap autisme serta bagaimana cara untuk berhadapan dengannya.
"Pada peringkat awal biasanya pegawai polis akan cuba mengenal pasti suspek, sama ada penghidap autisme ataupun bukan dan pegawai polis mesti tahu ciri-ciri golongan ini termasuk sensitif kepada cahaya lampu dan bunyi bising," katanya.
Ramli berkata selepas ditahan dan dibawa ke balai, polis perlu memastikan soalan yang sesuai untuk diajukan kepada suspek autisme kerana mereka tidak sama dengan suspek normal.
Mengulas mengenai proses siasatan dan pendakwaan, Ramli menjelaskan tugas polis hanyalah melakukan siasatan lengkap termasuk mendapatkan khidmat daripada pakar sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya.
Jelasnya terpulanglah kepada pendakwa raya sama ada mahu meneruskan kes berdasarkan laporan yang diterima atau sebaliknya.
-- BERNAMA
#agresif
#golongan autisme
#Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara
#prosedur operasi standard
#Ramli Din
#Roadshow Autisme
#suspek autistik
#suspek autistik boleh digari