Susilo turun padang pantau pembakaran terbuka
Agensi
Mac 15, 2014 00:23 MYT
Mac 15, 2014 00:23 MYT
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengetuai sendiri operasi memadam kebakaran besar melibatkan hutan Sumatera yang setakat ini telah gagal dikawal.
Menurut laporan AFP, beliau berangkat pada Sabtu, berikutan status darurat selama dua minggu yang telah dilanjutkan hingga Rabu setelah usaha memadamkan api melalui bom air, tidak berjaya.
Susilo telah mengkritik usaha yang dijalankan pegawai wilayah Riau dan memaklumkan pada Jumaat bahawa beliau akan mengambil alih penerajuan usaha itu.
"Saya mahu pegawai-pegawai di Riau untuk berdiri di barisan hadapan bagi mencegah dan menangani jerebu ini. Mengapa ia masih berlaku? Rakyat telah menjadi mangsa," katanya dalam sebuah kenyataan bertulis sambil menyifatkan hasilnya setakat ini 'tidak memuaskan'.
Sebuah laporan dari World Resources Institutes yang berpangkalan di Washington memaklumkan bahawa kebakaran tersebut telah menyebabkan kawasan-kawasan di sekitarnya dipenuhi asap tebal.
Menurut laporan itu, keadaan itu merupakan yang terburuk di Sumatera semenjak Jun tahun lalu, hingga menyebabkan jerebu tebal sampai ke Malaysia dan Singapura.
Tahap indeks pencemaran udara (IPU) di sesetengah kawasan Riau telah mencatatkan tahap 'bahaya' dalam beberapa hari ini, dengan lebih 50,000 orang dirawat atas masalah pernafasan.
Sekolah dan perniagaan juga terpaksa ditutup berikutan keadaan jerebu teruk itu.
Usaha yang dijalankan Indonesia itu melibatkan seramai 800 kakitangan dan 10 pesawat, di maan Jakarta telah menghantar seramai 2,500 orang lagi pada Sabtu sebagai bantuan tambahan.