'Susah payah kumpul duit, kereta hasil berniaga musnah terbakar'

Sinar Harian
Mac 16, 2025 15:15 MYT
Tangkap layar hantaran tular di TikTok yang memaparkan kereta Norhamidi musnah dalam satu kebakaran. -Sinar Harian
JOHOR BAHRU: "Luluh hati tengok kereta hasil simpanan selama lima tahun musnah dijilat api."

Ringkasan AI
  • Norhamidi Noor, 57, kehilangan kereta yang dibeli hasil simpanan selama lima tahun dalam kebakaran di Kampung Jayor, Pagoh.
  • Kebakaran berlaku ketika Norhamidi dalam perjalanan pulang selepas mengambil stok jualan kuih raya, dan dia hanya sempat menyelamatkan barang jualan, dokumen penting, telefon bimbit, dan ubat-ubatan.
  • Norhamidi berharap ada pihak yang sudi membantu agar dia dapat membeli kenderaan baharu untuk meneruskan perniagaan kecil-kecilannya.

Demikian luahan Norhamidi Noor, 57, apabila kereta yang dibeli hasil titik peluhnya dengan berniaga telah musnah dalam kebakaran di simpang masuk Kampung Jayor, Pagoh pada Sabtu.
Dalam kejadian itu, Norhamidi dalam perjalanan pulang selepas mengambil stok jualan kuih raya dari pembekal di Parit Sulung apabila tiba-tiba keretanya mengeluarkan asap tebal.
“Saya bawa kereta perlahan saja, dalam 60 kilometer sejam. Biasalah dah tua, jalan pun jalan kampung.
"Tiba-tiba saya nampak asap keluar dan bila saya berhenti saja, api dah menyala di bahagian hadapan enjin,” katanya kepada Sinar Harian.
Cemas dengan keadaan itu, Norhamidi memaklumkan, dia hanya sempat menyelamatkan barang jualan, beberapa dokumen penting, telefon bimbit serta ubat-ubatan sahaja.
Menurutnya, orang kampung yang berada lokasi tidak dapat membantu kerana kejadian berlaku dengan begitu cepat dan api sangat marak hingga membakar keseluruhan kereta.
Tambah Norhamidi, kereta itu dibeli sejak tujuh tahun lalu menggunakan wang hasil berniaga dan menabung lebih lima tahun.
"Saya beli kereta itu hasil daripada menyimpan. Sedikit demi sedikit... Susah payah kumpul duit, akhirnya sekelip mata hilang macam itu saja," katanya lagi.
Kehilangan kereta itu turut memberi kesan besar terhadap mata pencariannya kerana ia digunakan untuk mengambil dan menghantar barang jualan, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
"Saya niaga kecil-kecilan. Kalau tak berniaga, memang tak ada duit. Sekarang, nak bergerak ambil barang jualan pun susah,” luahnya dengan nada sebak.
Walaupun kejadian itu memberi tamparan hebat, Norhamidi berkata, dia reda dengan ujian tersebut dan menganggapnya sebagai ketentuan ALLAH.
Pada masa sama, dia turut berbesar hati sekiranya ada pihak yang sudi tampil untuk menghulurkan bantuan agar dia dapat membeli kenderaan baharu untuk meneruskan perniagaan.
"Kalau ada yang sudi membantu, sekecil mana pun sangat saya hargai. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan... Saya cuma peniaga kecil, mencari rezeki untuk teruskan hidup," katanya.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh salurkan terus ke akaun bank CIMB 8601488628 atas nama Norhamidi Noor atau berhubung terus di talian 019-762 8620. -Sinar Harian
#Aidilfitri #Norhamidi Noor #Kampung Jayor Pagoh #kebakaran kereta
;