Survival UMNO bergantung kepada sokongan NGO Melayu, kata Ibrahim Ali
Hamzah Hamid
November 23, 2014 18:07 MYT
November 23, 2014 18:07 MYT
Masa depan dan survival UMNO dan ahli politiknya banyak bergantung kepada NGO-NGO Melayu yang selama ini banyak memberi sokongan, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Peringatan kritikal terhadap pucuk pimpinan parti terbesar Melayu berusia hampir tujuh dekad itu disampaikan beliau sewaktu membentangkan Memorandum Perpaduan Nasional sempena majlis Konvensyen Perpaduan Nasional di ibu negara hari ini.
Antara usul yang terkandung dalam memorandum berkenaan adalah mengenai keselamatan politik Barisan Nasional (BN) berteraskan UMNO yang kini dilihat sedang terhakis dan terancam.
“Memang sesuailah majlis kita ini berlangsung beberapa hari lebih awal sebelum Perhimpunan Agung UMNO. Harap UMNO menerima mesej yang kita mahu sampaikan ini,” ujar Ibrahim yang berharap suara hati NGO-NGO tersebut akan mendapat perhatian UMNO khususnya Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ibrahim yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa penyediaan memorandum berkenaan juga berharap ia dapat diguna pakai pihak kerajaan untuk mengubah rangka dasar perpaduan.
Selain turut menyentuh aspek kesucian Islam dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, memorandum itu turut mengetengahkan soal keunggulan Perlembagaan Persekutuan yang kini dipertikai sesetengah rakyat serta undang-undang yang menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara seperti Akta Hasutan.
Ia juga mengandungi usul tentang status peribumi, Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, keselamatan ekonomi peribumi dan isu-isu pendidikan.
“Semua senario yang disebutkan itu perlu ditangani secara tegas. Kita akan sampaikan memorandum dan usul-usul ini kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan kerajaan Malaysia.
“Kita memohon dan mendesak keseluruhannya untuk menghalusi suara hati peribumi, Melayu dan Islam ini,” ujar beliau.
Konvensyen hari ini dianjurkan oleh gabungan 58 NGO Melayu dan dihadiri lebih 300 kumpulan bagi membahaskan seterusnya meluluskan usul yang terkandung di dalam draf Memorandum Perpaduan Nasional tersebut.
Memorandum berkenaan mengandungi 54 usul. Sejumlah 19 usul dihasilkan daripada penghujahan mengenai politik, perlembagaan, undang-undang dan keselamatan negara.
Sebanyak 20 usul adalah daripada penghujahan yang menyentuh isu-isu ekonomi. Sebanyak lapan usul adalah berkenaan pendidikan, manakala bakinya sebanyak tujuh usul adalah daripada perbincangan dari sudut agama.
Antara usul yang menarik perhatian adalah mengenai kesediaan UMNO untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu sebelum komuniti itu hilang harapan terhadap parti tersebut.
Ahli politik UMNO juga diberi peringatan agar menjauhi rasuah kerana itulah yang telah menjadi punca utama lahirnya persepsi negatif terhadap parti.
Pada akhir acara petang tadi, konvensyen telah meluluskan usul-usul yang dinyatakan dalam draf tersebut dengan beberapa tambahan lain.