Suruhanjaya Tenaga keluarkan garis panduan sebagai rangka kerja kawal selia untuk CRESS - PETRA

Bernama
September 20, 2024 04:15 MYT
Suruhanjaya Tenaga akan mengeluarkan garis panduan sebagai rangka kerja kawal selia untuk pemain industri dan pihak berkepentingan yang berminat untuk menyertai CRESS. - Gambar fail/Suruhanjaya Tenaga
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga akan mengeluarkan garis panduan sebagai rangka kerja kawal selia untuk pemain industri dan pihak berkepentingan yang berminat untuk menyertai Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Di bawah program CRESS, penjana tenaga boleh baharu (TBB) dan syarikat korporat yang layak boleh membuat aturan bekalan elektrik hijau dengan terma yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada.
Menurut PETRA dalam kenyataan pada Jumaat, pihaknya yakin CRESS akan menyokong dan menjadi pemangkin pembangunan serta aspirasi peralihan tenaga sektor bekalan elektrik terutamanya dalam meningkatkan campuran kapasiti TBB daripada 26 peratus kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus pada 2050.
"Inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik selain mengurangkan kebergantungan sistem bekalan elektrik negara kepada sumber bahan api fosil," katanya.
PETRA berkata, mana-mana pihak yang berminat boleh memuat turun garis panduan CRESS melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.
Program CRESS akan menyediakan opsyen pembekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna korporat bagi membolehkan syarikat korporat memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam aspek penggunaan bekalan elektrik hijau melalui konsep akses pihak ketiga. - BERNAMA
#Suruhanjaya Tenaga #garis panduan rangka kerja #CRESS #Petra
;