Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah ditubuhkan tangani masalah air - Bung Moktar
Astro Awani
Oktober 29, 2021 16:00 MYT
Oktober 29, 2021 16:00 MYT
KOTA KINABALU: Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah adalah salah satu inisiatif yang akan dimasukkan dalam hala tuju Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sekali gus langkah jangka panjang menangani masalah air di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, antara peranan yang dimainkan oleh suruhanjaya itu termasuklah mengawasi perkhidmatan air dan pembentungan di negeri berkenaan.
“Kita yakin penubuhan suruhanjaya air ini akan mengurangkan birokarasi dan meningkatkan kecekapan negeri mengurus masalah air yang sekian lama berlaku di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju Jabatan Air negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat pada Khamis lepas menyarankan agar Sabah membuat satu enakmen yang berfungsi seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhimdatan Air Negara seperti mana yang digunakan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, penubuhan suruhanjaya itu turut akan mengubah imej perkhidmatan air di negeri itu.
“Pindaan terhadap enakmen air Sabah mesti dibuat di Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan” jelas beliau.
Bung berkata bagi menangani isu-isu bekalan air di Sabah, JANS memerlukan sekitar RM13 bilion bagi mengganti dan menaiktaraf sistem bekalan air seperti rangkaian paip lama dan menaiktaraf loji rawatan air yang bermasalah.
“JANS adalah satu-satunya utiliti air di Malaysia yang masih berstatus jabatan dan menguruskan bekalan airnya sendiri tanpa bantuan secara langsung dari Kerajaan Persekutuan.
"Kita berharap melalui suruhanjaya air yang bakal diwujudkan oleh kerajaan negeri nanti bantuan secara langsung dapat diperolehi dari kerajaan pusat untuk menampung kos perbelanjaan yang tinggi bagi meningkatkan sistem bekalan air di Sabah," katanya.