Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia bakal diwujudkan - Fahmi

Bernama
Januari 31, 2023 13:30 MYT
Fahmi berkata KKD akan melaksanakan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi menjayakan penubuhan suruhanjaya itu. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia sebagai langkah memperkukuh keselamatan siber di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) 2023 di sini hari ini, Fahmi berkata KKD akan melaksanakan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi menjayakan penubuhan suruhanjaya itu.
"Ada perancangan besar iaitu harapan untuk usahakan pembentukan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia," katanya.
Fahmi dalam pada itu berkata beberapa pindaan melibatkan agensi di bawah KKD seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan dibawa pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 13 Feb ini.
"Tiada guna kalau data ada tetapi tidak selamat, JPDP perlu diperkukuh dan CSM juga perlu dilonjakkan... perkara-perkara asas perlu diselesaikan segera," katanya.
Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Feb ini dan Belanjawan 2023 akan dibentangkan semula di Parlimen pada 24 Feb oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, Fahmi berkata semakan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia akan selesai sebelum hujung Mac ini dan ketika ini sedang diadakan proses mengumpul maklum balas serta pertemuan dengan semua pihak berkaitan.
"5G main peranan bukan hanya akses perkhidmatan, ia adalah cara urus teknologi dan keupayaan bantu masa depan dengan lebih baik serta lebih Madani," katanya.
Pada 13 Jan lepas, Fahmi berkata dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum penghujung suku pertama tahun ini.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia #Fahmi Fadzil #Dewan Rakyat #rangkaian 5G
;