Suria KLCC komited tingkat kesedaran kesihatan mental

Ehsan A Marisah
November 24, 2021 16:41 MYT
Safe Space @ Suria KLCC membolehkan orang ramai mengetahui pelbagai maklumat tentang kesihatan mental. - Foto Suria KLCC
KUALA LUMPUR: Kumpulan Syarikat Suria KLCC terus komited menjadi organisasi yang mementingkan kesihatan mental apabila mengendalikan kesejahteraan psikologi dengan cara mudah dan menyeluruh.
Untuk mencapai matlamat itu, kerjasama dijalin antara Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Befrienders Kuala Lumpur, Relate Mental Health Malaysia (RELATE), Green Ribbon Group dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan melancarkan inisiatif pengumpulan dana melalui penjualan “Suria Ribbon Pin”.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Suria KLCC, Andrew Brien berkata, pihaknya sentiasa mempromosi pusat membeli-belah itu sebagai tempat yang selamat untuk dikunjungi dan bertindak sebagai platform memberi didikan tentang kepentingan kesihatan mental.
“Kami ingin mereka dan membina sebuah ruang selamat di Suria KLCC sebagai tempat tumpuan masyarakat untuk membincangkan kesihatan mental,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Bertemakan ‘Kami Bersama Anda’, Safe Space @ Suria KLCC akan menjadi platform mempromosikan aktiviti-aktiviti menarik berkaitan kesihatan mental bermula hari ini sehingga 8 Disember depan.
Ia terletak di Aras 1, Ampang Mall dan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Di Safe Space, orang ramai boleh mengetahui pelbagai maklumat mengenai kesihatan mental dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pameran, workshop, ceramah dan perbincangan daripada panel profesional.
Ia turut mengalu-alukan pengunjung ke galeri maklumat mengenai kesihatan mental melibatkan latar belakang, statistik dan pengalaman kisah benar termasuk mengadakan jualan Suria Ribbon Pin bernilai RM10 setiap satu, dan dana diterima akan disumbangkan untuk membantu segala aktiviti berkaitan kesihatan mental.
Sementara itu, Pengasas dan Presiden Green Ribbon Group, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah berkata, inisiatif itu dilihat amat diperlukan lebih-lebih lagi semasa dan selepas pandemik COVID-19.
“Green Ribbon Group berhasrat untuk mengetuai pendekatan kemasyarakatan dalam isu kesihatan mental dan inisiatif Suria KLCC adalah contoh terbaik dalam perlaksanaannya.
“Beta memuji usaha Suria KLCC dalam memperkasakan NGO seperti MMHA, Befrienders dan RELATE - satu lagi contoh bagaimana Green Ribbon Group dan Suria KLCC mempunyai hasrat yang sama. Perbincangan mengenai kesihatan mental perlu berterusan,” katanya.
Presiden MMHA dan penasihat polisi kepada Green Ribbon Group, Datuk Dr Andrew Mohanraj pula berkata, adalah penting untuk masyarakat dididik secara berterusan mengenai kesihatan mental.
“Keberkesanan pendidikan adalah penting untuk menemui jalan penyelesaian terhadap isu kesihatan mental dan oleh itu, usaha pihak Suria KLCC dalam mengetengahkan kesihatan mental sangatlah terpuji.
“Pendidikan bermula dengan langkah pertama dan sebagai sebuah pusat membeli belah, Suria KLCC telah mengorak langkah dengan berani dalam mengelolakan kempen sepanjang sebulan ini,” katanya lagi.
#Suria KLCC #kesihatan mental #Suria Ribbon Pin #Safe Space #green ribbon #Befrienders
;