Suri rumah rugi RM5,000 'bayaran' bebaskan suami

Bernama
Julai 4, 2019 03:20 MYT
Mangsa mendakwa suspek menghubunginya pada Selasa lalu memaklumkan mendapat arahan pegawai penyiasat untuk membebaskan suaminya daripada tahanan. - Gambar hiasan
Niat seorang suri rumah untuk membebaskan suaminya yang ditahan polis menyebabkan dia kerugian RM5,000 selepas diperdayakan orang tidak dikenali.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa suaminya ditahan polis pada 26 Jun lepas atas kesalahan membawa masuk pekerja asing tanpa dokumen.
"Mangsa mendakwa suspek menghubunginya pada Selasa lalu memaklumkan mendapat arahan pegawai penyiasat untuk membebaskan suaminya daripada tahanan, namun dia perlu menjelaskan bayaran RM5,000.
"Mangsa menjelaskan bayaran itu pada hari yang sama dan terus menghubungi pegawai penyiasat untuk memaklumkan perkara itu namun diberitahu tiada pegawai atau anggota yang pernah meminta wang itu," katanya di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang jurutera berusia 34 tahun mendakwa kerugian RM1,130 selepas diperdayakan dalam urusan jual beli playstation 4pro di laman sosial, dua minggu lepas.
Beliau berkata mangsa mendakwa telah berurusan dengan suspek menerusi nombor telefon yang tertera di laman sosial itu pada 9 malam 22 Jun lalu, dan dijanjikan penghantaran barangan itu boleh dilakukan dalam tempoh dua hari.
"Bagaimanapun mangsa mendakwa barangan itu tidak pernah diterima menyebabkan dia cuba menghubungi suspek pada petang 24 Jun, namun mendapati nombornya telah disekat oleh suspek," katanya.
Mangsa cuba memberi tempoh masa kepada suspek untuk menghantar barangan itu, namun akhirnya mengambil keputusan membuat laporan di IPD Kuantan semalam.
-- BERNAMA
#jenayah #Kuantan #mangsa #Pahang #polis #suami diculik #Suri Rumah #suspek