Suri rumah rugi RM30,050 ditipu beli kucing melalui Facebook
Bernama
Julai 29, 2021 17:59 MYT
Julai 29, 2021 17:59 MYT
SEREMBAN: Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM30,050 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM500 menerusi media sosial, Isnin lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 56 tahun dari Senawang itu berminat untuk membeli kucing jenis Munchkin yang diiklankan menerusi Facebook atas nama akaun 'Suhair Rahman' pada 26 Julai lepas.
"Setelah berbincang melalui Facebook Messenger dengan persetujuan harga sebanyak RM500, wanita berkenaan telah memberikan butiran peribadi untuk diposkan kucing itu ke alamat rumahnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aibee berkata pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM150 ke dalam akaun atas nama Leny Yohanis melalui pemindahan wang secara dalam talian.
Menurut beliau wanita berkenaan telah berurusan dengan beberapa individu dan dia diminta membuat beberapa bayaran lagi sebagai wang jaminan semasa kucing itu berada di kastam dan setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, insurans pembelian haiwan, lesen pemilikan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta upah menghantar kucing tersebut.
"Suspek memberitahu kesemua wang tersebut akan dipulangkan semula kepada wanita itu jika proses selesai dilakukan. Justeru, mangsa memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam 10 akaun berbeza," katanya.
Beliau berkata wanita itu turut diugut jika tidak membuat pembayaran, kucing tersebut akan dirampas dan wangnya tidak akan dikembalikan.
Aibee berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu apabila nombor telefonnya disekat sehingga dia tidak dapat menghubungi individu tersebut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA