Suri rumah rugi RM136,000 ditipu Macau Scam

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 14, 2020 04:19 MYT
Mangsa membuat tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam empat akaun yang keseluruhannya berjumlah RM136,000.
KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas dari Kepala Batas Pulau Pinang kerugian RM136,000 wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam semalam.
Suri rumah berusia 70-an itu mula terjerat dalam sindiket itu selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa diberitahu bahawa terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi sekeping kad pengenalan dan lapan keping kad pengeluaran wang automatik (ATM).
Panggilan berkenaan kemudian kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Mangsa telah diberitahu oleh individu yang mendakwa inspektor polis bahawa dia terlibat dalam kegiatan menjual akaun bank kepada seorang lelaki sebanyak RM10,000, dan telah menerima wang sebanyak RM23 juta.
“Mangsa dimaklumkan bahawa, dia suspek utama dan perlu memberikan kerjasama selain tidak boleh memberitahu sesiapa memandangkan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa yang terlalu takut akan dikenakan tindakan akur dengan arahan individu terbabit dan segera memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek melalui mesin ATM.
“Dia membuat tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam empat akaun yang keseluruhannya berjumlah RM136,000.
“Mangsa turut diberitahu bahawa wang itu hanyalah untuk semakan pihak terbabit berhubung kes yang sedang disiasat tersebut,” katanya lagi.
Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.
Kes itu disiasat mengkut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
#Macau Scam #warga emas #sindiket #Kepala Batas #Suri Rumah #pos laju #Noorzainy Mohd Noor #bungkusan #kad ATM #akaun bank #pemindahan wang #transaksi