Suri rumah rugi lebih RM15,000 terperdaya tawaran kerja 'review' hotel
Bernama
Mei 18, 2024 13:45 MYT
Mei 18, 2024 13:45 MYT
SEREMBAN: Seorang suri rumah di sini kerugian RM15,850 selepas terperdaya dengan iklan tawaran kerja 'review' hotel daripada sebuah syarikat yang menjanjikan komisen tinggi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mangsa yang berusia 33 tahun itu mendakwa menerima iklan berkenaan daripada ibu saudaranya sebelum berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp pada 14 Mei lepas.
"Mangsa kemudian diterangkan mengenai tugasan atau review hotel oleh sebuah syarikat dan pembayaran dalam aplikasi diberikan, dengan pulangan komisen antara 6 hingga 10 peratus berdasarkan jumlah wang dibayar semula kepada akaun mangsa.
"Pada awalnya, dia membuat 14 kali transaksi dan menerima pulangan wang dalam akaun banknya namun untuk tugasan ke-15, aplikasi tersebut bermasalah dan mangsa diminta membuat bayaran lain sebelum komisen diberikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hoo berkata wanita itu kemudian membuat empat kali transaksi tetapi tidak menerima komisen yang dijanjikan selain masih perlu membuat pembayaran lain.
Beliau berkata menyedari telah ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA