Suri rumah rugi hampir RM100,000 diperdaya sindiket Bantuan Prihatin

Shuhada Abdul Kadir
Januari 20, 2023 17:12 MYT
Mangsa yang berusia 42 tahun dihubungi satu sindiket pada 25 Disember lalu yang mengarahkan pengadu mengisi maklumat peribadi menerusi satu pautan yang diberikan.- Gambar hiasan
ALOR GAJAH: Seorang suri rumah kerugian RM98,670 selepas terperdaya kononnya terpilih sebagai penerima 'Bantuan Prihatin', bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang berusia 42 tahun dihubungi satu sindiket pada 25 Disember lalu yang mengarahkan pengadu mengisi maklumat peribadi menerusi satu pautan yang diberikan.
“Pengadu telah tekan link yang diberikan dan telah disambungkan ke satu laman web, yang mana pengadu juga mengisi maklumat username dan kata laluan perbankan dalam taliannya, serta tarikh luput kad bank serta ‘CVC’ kod belakang kad itu.
“Setelah selesai perbualan, pengadu kemudian membuat semakan dan dapati wang dalam akaun bank miliknya telah dipindahkan ke beberapa jenis akaun bank yang tidak dikenali sejumlah RM98,670 menerusi lapan transaksi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut katanya, pengadu kemudian menyedari telah ditipu sebelum bergegas ke balai polis untuk membuat laporan pada 18 Januari lalu.
“Pihak PDRM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menekan sebarang pautan mencurigakan yang diberikan oleh individu yang tidak dikenali.
“Orang ramai juga diingatkan untuk tidak memberikan maklumat butir peribadi perbankan bagi mengelakkan sindiket tidak bertanggungjawab ini memancing data daripada maklumat akaun perbankan yang diberikan,”ujarnya.
Tambahnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
#suri rumah kerugian #Bantuan Prihatin #polis Alor Gajah #sindiket
;