Suri rumah panik bunyi aneh dalam almari, disangka ular tapi rupa-rupanya...

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 26, 2021 14:22 MYT
Suri rumah itu sama sekali tidak menyangka sesuatu yang dibelinya dari pasar telah merangkak masuk ke dalam ruangan almari di dapurnya. - Foto: BBP Alor Setar
ALOR SETAR: Disangkakan ular tetapi yang ditemui hanyalah ketam nipah.
Seorang suri rumah bimbang dan panik telah membuat panggilan kepada pihak bomba kira-kira jam 10 pagi tadi (Khamis), kerana menyangkakan almari rak pinggannya dimasuki ular.
Ketua Balai Bomba Penyelamat Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, sebaik anggotanya tiba di rumah pengadu di Kuarters Pejabat Pos Alor Janggus, memang mereka terdengar bunyi seperti benda bergerak di dalam almari terbabit.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota bomba menjumpai seekor ketam nipah sedang bergerak mencari jalan keluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Naufal berkata, hasil siasatan suri rumah terbabit tidak menyangka ketam yang baru dibeli di pasar pada pagi itu terlepas dari ikatan lalu memasuki almari itu melalui lubang belakang.
Ketam itu kemudiannya diserahkan kepada suri rumah terbabit untuk dimasak.
#ketam nipah #ular #bomba #Alor Setar
;