Suri rumah mengaku tidak salah buka klinik gigi tidak berdaftar

Bernama
Januari 4, 2023 05:25 MYT
Norazia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan, dua tahun lepas. --fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di sini, dua tahun lepas.
Tertuduh Norazia Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nazlyza Mohd Nazri.
Wanita itu dituduh menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menjalankan perkhidmatan pemasangan veneer yang merupakan suatu amalan pergigian di bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini pada 20 Ogos 2021 pukul 5.55 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Nozaizeli Abu Samah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#klinik gigi tidak berdaftar #klinik gigi swasta #suri rumah didakwa #perkhidmatan pemasangan veneer