Suri rumah mengaku tidak bersalah aniaya anak tiri hingga cedera

Muhafandi Muhamad
Julai 23, 2024 10:00 MYT
Nor Hidayah Che Awang, 37, dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menganiaya anak tiri dengan mengurung sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di Kok Lanas, pada 10 hingga 12 Julai lalu.
Tertuduh, Nor Hidayah Che Awang, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menganiaya anak tiri lelaki berusia sembilan tahun dengan cara mengurung sehingga mendatangkan kecederaan di kepala, badan dan muka.
Kejadian itu dilakukan di rumah di Kok Lanas kira-kira 1 tengah hari hingga 6.15 pagi pada 10 hingga 12 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya,Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Siti Edabayu memohon supaya jaminan tidak ditawarkan memandangkan kes berkenaan serius selain mangsa juga baru berusia sembilan tahun dan kini trauma disebabkan kejadian terbabit.
Ahmad Adha Amir pula memohon jaminan minimum ditawarkan memandangkan tertuduh seorang suri rumah dan menjaga ibu yang mengalami strok.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan mematuhi syarat ditetapkan termasuk melapor diri di balai polis berdekatan dan menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.
#aniaya anak tiri #Kok Lanas #kes dera