Suri rumah maut kereta terbabas elak bangkai lembu

Bernama
Oktober 4, 2024 16:52 MYT
Keadaan kereta Perodua Bezza yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil: Pemandu mengelak bangkai lembu di tengah jalan. - Foto Ihsan PDRM.
KUALA KRAI: Seorang suri rumah maut manakala suami dan anak perempuannya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dalam kejadian di Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata nahas berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu suami mangsa cuba mengelak bangkai lembu sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
"Mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan maut di lokasi kejadian manakala suami dan anak cedera.
"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk proses selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, adik mangsa Shamsuri Mat ketika dihubungi berkata kakaknya Norma Mat, 56, bersama suami Wan Rosli Wan Harun, 61, dalam perjalanan menghantar anak mereka Wan Kasma Ayuni, 19, ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Beliau berkata jenazah kakaknya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung But di Ketereh hari ini.
-- BERNAMA
#suri rumah maut #Jalan Kota Bharu-Gua Musang #elak bangkai lembu #terbabas ke laluan bertentangan
;