Suri rumah maut dikelar teman lelaki anak
Radhi Muslim
Mei 29, 2022 13:44 MYT
Mei 29, 2022 13:44 MYT
SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan tergamak mengelar leher seorang wanita sehingga mati yang juga merupakan ibu kepada teman wanitanya di salah sebuah rumah di Apartment Taman Sentosa, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 25 tahun.
“Suspek yang juga kekasih anak mangsa datang ke rumah mereka pada jam 5.50 petang, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
“Suspek dipercayai bertindak mengelar bahagian leher dan mangsa dan dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala anak perempuan mangsa pula cedera ringan di bahagian tangannya,” katanya.
Abdul Fuad berkata, selepas kejadian, suspek yang juga warga tempatan berusia 31 tahun menyerah diri di Balai Polis Sandakan dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duches of Kent untuk bedah siasat.
"Kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.