Suri rumah kes indeks kluster baharu COVID-19 di Sabah
Ruzaini Zulkepli
Mei 16, 2021 00:13 MYT
Mei 16, 2021 00:13 MYT
KOTA KINABALU: Seorang suri rumah dikesan menjadi kes indeks dalam kluster baharu yang direkodkan di Sabah pada Ahad.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster itu dikenali sebagai Kluster Jalan Menteri di Kota Kinabalu dan Penampang melibatkan kes indeks seorang wanita berusia 48 tahun.
Jelas beliau, kluster berkenaan telah merekodkan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes dengan dua kes didaftarkan di daerah Kota Kinabalu, manakala baki tujuh kes di Penampang.
"Kes indeks merupakan suri rumah, 48, yang disahkan positif melalui RT PCR pada 10 Mei selepas mengalami gejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
"Saringan kontak rapat yang dijalankan oleh pasukan kawalan kemudian mendapati lapan lagi kes positif COVID-19.
"Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri mesyuarat keagamaan pada 28 April dan 5 Mei lalu di Tingkat Satu, Pusat Paroki Gereja Sacred Heart, Jalan Menteri Kota Kinabalu," katanya.
Menurut Masidi yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah, aktiviti kawalan dan pengesanan kontak masih giat dijalankan.
#Kluster baharu
#keagamaan
#gereja
#Masidi Manjun
#Kluster Jalan Menteri
#Penampang
#Suri Rumah
#Hospital Queen Elizabeth
#Gereja Sacred Heart
#Sabah