Suri rumah dipenjara tujuh bulan sembunyi wang milik pegawai polis
Bernama
November 17, 2021 19:25 MYT
November 17, 2021 19:25 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang berjumlah RM3,100 milik seorang pegawai polis wanita berhubung pembelian sebuah telefon bimbit.
Majistret Nur Maizan Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 22 Sept lepas.
Dia didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan wang tersebut dalam akaun bank CIMB miliknya yang mana tertuduh mengetahui wang itu bukan kepunyaannya sehingga menyebabkan mangsa berusia 31 tahun mengalami kerugian, di sebuah unit kondominium di Taman Bukit Indah di sini, pada 18 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam serta kerugian dialami mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan perlu menjaga tiga orang anak.
Mengikut fakta kes, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM3,100 ke dalam akaun bank atas nama tertuduh yang mana wang itu adalah caj Kastam bagi pembelian sebuah telefon bimbit dan hasil siasatan mendapati tertuduh menyembunyikan wang tersebut.
-- BERNAMA