Suri rumah dipenjara sehari curi pakaian dalam wanita dan beg tangan

Bernama
September 2, 2016 17:24 MYT
Wanita itu didakwa mencuri sebuah beg jenama Guess berharga RM239 dan dua helai pakaian dalam wanita bernilai RM80 di tingkat bawah pasar raya Sogo. - Gambar hiasan
Seorang suri rumah dihukum penjara sehari dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mencuri sebuah beg tangan dan dua helai pakaian dalam wanita pada Hari Kebangsaan.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Santhi, 48, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda.
Wanita itu didakwa mencuri sebuah beg jenama Guess berharga RM239 dan dua helai pakaian dalam wanita bernilai RM80 di tingkat bawah pasar raya Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 3.30 petang, 31 Ogos lepas.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dipenjara dan boleh juga dikenakan denda dan sebat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman diringankan kerana dia mempunyai anak yang masih kecil manakala Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
#curi pakaian dalam #kes mahkamah #suri rumah didakwa
;