Suri rumah dihukum penjara 10 tahun kerana dera dan aniaya anak

Bernama
Januari 30, 2015 22:07 MYT
Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan Choong Mee Chin - Gambar Hiasan
Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menganiaya dan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan Choong Mee Chin, yang diwakili peguam Chong Kok Yew, dan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.
Chong, 32, mengaku melakukan kedua-dua kesalahan terhadap Ho Yan Hui di ruang tamu rumah mereka di Taman Wang, Menglembu pada pukul 9 pagi 12 Ogos 2013.
Bagi pertuduhan mendera sehingga menyebabkan kematian, Chong dijatuhi hukuman penjara enam tahun manakala bagi kesalahan menganiaya, dia dihukum penjara empat tahun.
Bagaimanapun, Noorin mengarahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Ogos 2013.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu dia perlu menyempurnakan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Noorin juga memerintahkan Chong agar membawa dua lagi anaknya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemerhatian sekali setiap bulan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah terkesan dengan rayuan tertuduh yang menyifatkan insiden itu sebagai 'satu tragedi keluarga yang tidak berkemampuan'.
"Perkara ini tidak seharusnya terjadi dan kesempitan hidup tidak wajar dijadikan alasan mengapa tragedi ini berlaku dan anak-anak berhak mendapat kasih-sayang serta penjagaan yang sewajarnya, dan bukan dijadikan tempat untuk melepaskan tekanan," katanya.
Noorin berkata memukul anak untuk memberi pengajaran menjadi norma dalam masyarakat namun jika ia membabitkan tahap kecederaan yang serius sehingga membawa kepada kematian, maka perkara itu tidak boleh dibiarkan berleluasa dan terus menjadi norma.
"Penderaan sehingga membawa kepada kematian adalah satu jenayah yang tidak akan dipandang ringan kerana faktor kepentingan awam tetap menjadi keutamaan dan jenayah ini adalah jenayah yang serius.
Anak yang nakal dan sukar dikawal serta tekanan hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk kamu memukulnya sehingga mati kerana anda perlu mencari alternatif untuk menangani perkara ini.
Kecederaan yang dialami mangsa menunjukkan dia telah mati dalam keadaan perlahan tetapi amat menyakitkan," katanya dalam nada sebak.
Terdahulu, Choong memaklumkan mahkamah bahawa dia telah insaf dan menyesal atas perbuatan itu.
"Saya mohon diberi satu lagi peluang untuk memulakan hidup baharu. Saya mahu menjaga dan memberi kasih sayang kepada dua lagi anak dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan seperti itu pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, How ketika meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal berkata bedah siasat mendapati ada lebih 100 kesan kecederaan pada badan kanak-kanak malang itu terutama di bahagian kepala termasuk kesan baharu dan ini menunjukkan mangsa seringkali didera ibunya.
"Mahkamah juga perlu mengambil kira faktor kekerapan kes dera yang dilaporkan media... malah menurut laporan akhbar, tidak lama lagi akan ada pindaan undang-undang bagi menjadikan tindakan merotan kanak-kanak sebagai satu kesalahan," katanya.
#dera #Mahkamah Tinggi #Noorin Badaruddin #pesuruhjaya kehakiman
;