Suri rumah didakwa pukul, toreh badan bekas suami

Shuhada Abdul Kadir
September 14, 2022 14:25 MYT
Norhayati Serurahman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memukul dan mencederakan bekas suaminya dengan menoreh belakang badan mangsa dengan pisau, tahun lalu. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul dan mencederakan bekas suaminya dengan menoreh belakang badan mangsa dengan pisau, tahun lalu.
Tertuduh, Norhayati Serurahman, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dikatakan mencederakan Mohamad Sabri Hussin, 33, dengan cara menoreh belakang badannya dengan pisau selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor 37-4, Kampung Tambak Sebelong, Kandang, Melaka pada jam 2.45 pagi, 10 Mei 2021.
Mahkamah | Suri rumah didakwa cedera, toreh badan suami
Mengikut fakta kes, tertuduh telah bertengkar sebelum menumbuk muka dan menoreh belakang badan bekas suaminya dengan pisau hingga cedera selain tertuduh turut dikatakan mengancam untuk membunuh mangsa.
Justeru, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 326(A) kanun sama yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda RM 4,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#suri rumah didakwa #toreh badan #bekas suami #selisih faham
;