Suri rumah didakwa jadikan pembantu rumah sebagai hamba

Aida Aziz
September 3, 2020 15:18 MYT
Suri rumah Yee Lee See mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi buruh, sejak tahun lalu. - Foto BERNAMA
Seorang suri rumah warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumahnya bagi maksud perhambaan.
Bagaimanapun tertuduh Yew Lee See, 51, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan itu yang dibaca mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin sementara menunggu 22 September depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan Sumila, 31, bagi maksud eksploitasi pengabdian di sebuah rumah di Hala Desa Pantai 2, Pantai Remis, Seri Manjung antara 2019 sehingga 20 Mei lepas.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda mengikut seksyen sama.
Dalam pada itu, dua wakil Kedutaan Indonesia turut mengiringi Sumila dalam sebutan kes hari ini dengan Sumila akan ditempatkan sementara di rumah perlindungan.
#Indonesia #Ipoh #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Mahkamah Sesyen Ipoh #manjung #penjara #rumah #wanita #Yew Lee See
;