Suri rumah cedera diseret, halang suami larikan anak
Astro Awani
Februari 9, 2021 11:08 MYT
Februari 9, 2021 11:08 MYT
DUNGUN: Seorang suri rumah cedera dalam cubaan menghalang suaminya melarikan anak lelaki pasangan itu dalam kejadian pada Ahad.
Lapor Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku di Taman Sura Tengah di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata ketika itu mangsa yang berusia 32 tahun berada di rumah bersama anak lelakinya berusia 14 bulan sebelum dikejutkan dengan kehadiran suaminya, 32.
Suaminya yang beralamat dari Negeri Sembilan tanpa bersoal jawab terus membawa anaknya itu masuk ke dalam keretanya sebelum memecut keluar dari kawasan rumah berkenaan.
"Bagaimanapun, mangsa cuba menghalang tindakan suaminya itu dengan mengetuk cermin pintu kereta tetapi tidak diendahkan.
"Akibat tindakan itu, mangsa terseret dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Kejadian itu berlaku di hadapan rumah mangsa dan turut disaksikan abangnya yang secara kebetulan berada di lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Baharudin berkata, pasangan itu kini dalam proses perceraian.
Suami mangsa berada di Dungun untuk menghadiri perbicaraan perceraian mereka di Mahkamah Syariah Dungun pada hari kejadian tetapi ditunda.
"Polis masih memburu suami mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya lagi.
#suri rumah cedera
#keganasan rumah tangga
#Ketua Polis Daerah Dungun
#Baharudin Abdullah
#penceraian
#Dungun