Surendran fail permohonan rujuk kes hasutan ke Mahkamah Tinggi
Bernama
Oktober 3, 2014 16:42 MYT
Oktober 3, 2014 16:42 MYT
Anggota Parlimen Padang Serai, N. Surendran hari ini memfailkan permohonan bagi merujuk kes hasutan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Lateefa Koya memaklumkan perkara berkenaan ketika kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Bache.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Okt ini untuk mendengar permohonan Surendran.
Lateefa ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya memfailkan permohonan itu bagi memohon hakim Mahkamah Sesyen mempertimbangkan sama ada terdapat persoalan perlembagaan berkenaan Akta Hasutan yang patut dirujuk di Mahkamah Tinggi sebelum kes itu dibicarakan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu pihaknya akan membuat bantahan awal terhadap permohonan tersebut.
Pada 28 Ogos lepas, Surendran, 48, didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kes liwat kedua, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dapat dibaca di laman sesawang YouTube, di Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya antara 2 petang hingga 4 petang, 8 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.