Surat pekeliling kakitangan kerajaan kerja dari rumah, dikeluarkan hari ini
Umavathi Ramayah
Oktober 21, 2020 19:19 MYT
Oktober 21, 2020 19:19 MYT
KUALA LUMPUR : Surat pekeliling kepada kakitangan kerajaan di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk bekerja dari rumah berkuat kuasa esok, dikeluarkan pada Rabu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu dikeluarkan kepada pegawai yang bertugas di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di pejabat.
"Hari ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling bagi memaklumkan berkenaan arahan ini di mana Ketua Jabatan hendaklah memastikan semua pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di pejabat, supaya bekerja dari rumah.
"Walau bagaimanapun, arahan bekerja dari rumah ini adalah terkecuali kepada pegawai awam yang berada di perkhidmatan penting dan diklasifikasikan kritikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas dan berjalan lancar," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah mengeluarkan kenyataan berkenaan arahan bekerja dari rumah yang melibatkan hampir 800,000
pekerja industri.
Katanya, pihak MITI juga telah mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan industri terbabit dan meminta mereka untuk memperjelaskan kepada ahli mengenai arahan ini dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.
Sementara bagi pekerja sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai informal sektor seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai-gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP PKPB yang ditetapkan.
"Begitu juga, pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan juga boleh bekerja seperti biasa," katanya.
Meskipun begitu katanya, majikan perlu mengeluarkan surat perlepasan perjalanan bagi kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh ini.
#ismail sabri yaakob
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#MITI
#COVID-19
#surat pekeliling
#sektor kerajaan