Surat palsu warnai hari terakhir kempen PRK Kuala Besut
Aizat Sharif
Julai 23, 2013 07:41 MYT
Julai 23, 2013 07:41 MYT
Tidak lama lagi, warga Kuala Besut yang berdaftar akan beramai-ramai keluar membuang undi di pusat pengundian yang telah ditetapkan.
Namun begitu, kehangatan kempen yang tamat jam 12 tengah malam semalam dicemari dengan kejadian penyebaran surat palsu sumbangan duit hari raya pilihan raya kecil N01 Kuala Besut yang dikatakan dikeluarkan oleh Barisan Nasional.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya DUN Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata kejadian tersebut disedari oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan selepas bersolat Subuh di Masjid Kuala Besut pagi tadi yang menemui surat itu di masjid tersebut.
“Surat palsu itu yang menyatakan sumbangan duit hari raya kepada warga emas berjumlah RM800, ketua keluarga berjumlah RM700, pemuda berjumlah RM6000 dan wanita pula berjumlah RM600 seolah-olah telah dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Kuala Besut,” kata Idris kepada pemberita di Pusat Media Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut.
Surat palsu itu dipercayai telah diedarkan dari rumah ke rumah sewaktu Subuh tadi kerana surat itu dijumpai di gulung dan dicampak di hadapan rumah-rumah penduduk di beberapa buah kampung sekitar pekan Kuala Besut.
Idris yang juga Ahli Parlimen Besut mendakwa cubaan fitnah yang cuba dilakukan oleh Pas ini adalah untuk memecahbelahkan jentera-jentera BN yang sedang bertungkus lumus bekerja dan juga menimbulkan kemarahan kepada pengundi.
“Ini kerana dalam kandungan surat tersebut, ditulis wang pendahuluan sebanyak RM300 akan diberi pada semalam sedangkan tiada dilakukan perkara itu. Dengan sendirinya, orang ramai akan marah kerana ianya sudah melangkaui tempoh yang ditetapkan. Ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak senang kepada BN,” kata Idris.
Beliau berpendapat surat itu dikeluarkan untuk memburuk-burukkan parti UMNO dan BN sebagai cubaan untuk membeli undi dari pengundi.
“Pada permulaan kempen pilihan raya ini, Pas juga yang menyatakan bahawa tiada serangan peribadi atau cubaan-cubaan fitnah yang akan dilakukan kerana menghormati bulan puasa tetapi malangnya, merekalah yang mengeluarkan surat palsu seperti ini,” kata Idris.
“Saya menyeru kepada kepada orang ramai supaya menolak Pas kerana parti ini tidak pandai mematuhi peraturan undang-undang sehinggakan sanggup mengeluarkan surat palsu seperti ini,” katanya lagi.
Difahamkan, Ketua-ketua kampung yang terpedaya dengan penyebaran surat itu telah pun datang menuntut kepada sumbangan tersebut di Pejabat Jentera BN di Alor Pisang, Kuala Besut.
Dalam perkembangan yang sama juga, Setiausaha Eksekutif Umno Besut, Salleh Ab Latif pula mendakwa menerima satu panggilan telefon dari seorang penduduk kampung yang menyatakan bahawa dia menerima sepucuk surat sumbangan duit hari raya yang ditandatangani oleh beliau berkenaan sumbangan hari raya itu.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya mengenai pengedaran surat itu.
Satu laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Kuala Besut pada jam 11.35 di Balai Polis Kuala Besut.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis tersebut.