Surat Kepada Pengarang: Ibu bapa mendidik anak sekadar 'asal boleh'

Astro Awani
Jun 5, 2014 18:34 MYT
Amirrul Rabbani Rashid berkata gangsterisme bukan perkara baru
Gejala gangsterisme ini bukan perkara baru. Menurut satu artikel dari laman Pusat Portal Maklumat Rakyat yang bertajuk Reaksi Terhadap Kes Buli dan Gangsterisme di Sekolah, pada tahun 2009, seorang pelajar disahkan meninggal dunia selepas koma lapan hari akibat dibelasah sekumpulan remaja berhampiran sekolah di Cheras.
Penulis juga yakin dan percaya sebelum sebelum itu pun pasti ada kes yang sama. Sama ada diketahui umum atau sebaliknya. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penyebaran video pergaduhan antara pelajar sekolah di laman-laman sosial, bukan lelaki tetapi dari kaum hawa.
Puncanya pasti kita akan jumpa lebih dari satu dan salah satu dari puncanya iaitu, keluarga.
Pembangunan sahsiah belia itu bermula dari rumah. Datin Seri Rosmah Mansor seperti dilaporkan dalam portal Mstar Online, menegaskan pendidikan akhlak itu bermula dari rumah dan disokong dengan persekitaran keluarga dan keibubapaan yang harmoni.
Masih ada segelintir ibu bapa yang mendidik anak mereka sekadar 'asal boleh'. Kadang-kadang, ada ibu bapa yang tidak kisah anaknya yang masih bersekolah pulang lewat malam dari melepak atau berbasikal tanpa arah tuju. Paling menyedihkan, ada ibu bapa yang tidak berapa ambil tahu kemana dan dengan siapa anaknya keluar, asalkan pulang rumah.
Ibu bapa sepatutnya memberi penekanan sejak awal dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Diusia muda, perhatian lebih harus diberikan kepada mereka. Sebelum anak-anak melangkah keluar, pastikan mereka itu sudah bersedia menghadapi segala bentuk pengaruh dan ansir luar. Kita harus sedar, cabaran era milenium ini tidak sama dengan cabaran era filem Azura.
Amirrul Rabbani Rashid
#Gejala gangsterisme
;