Surat kelulusan untuk berunding, bukan lulus projek - Tengku Zafrul

Bernama
November 17, 2022 12:17 MYT
Menurut Tengku Zafrul, surat yang didedahkan Rafizi bukan persetujuan untuk menganugerahkan kontrak, sebaliknya, kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA SELANGOR: Surat bertarikh 27 Okt yang didedahkan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli semalam bukan persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, sebaliknya, merupakan kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selepas mendapat kelulusan secara dasar untuk berunding, KASA selaku kementerian yang bertanggungjawab masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan akan mengesyorkan langkah seterusnya kepada Kementerian Kewangan.
"KASA akan membuat perbincangan tentang apa yang diperlukan dan pada masa sama akan membuat penilaian sama ada syarikat itu diluluskan atau tidak yang melibatkan tahap kewangan, teknikal dan sebagainya, sekurang-kurangnya mengambil masa dua hingga tiga bulan.
"Bagi saya, saya percaya ini adalah isu yang dipolitikkan kerana perkara itu clear (jelas), tiada surat setuju terima (LOA) dan surat niat (LOI) (diberikan). Hanya ada kelulusan untuk syarikat tersebut berunding dengan KASA," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Justeru, beliau menasihati Mohd Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan di Parlimen Pandan untuk terus melaporkan dahulu sebarang salah laku dalam kerajaan kepada pihak berkuasa dan bukannya membuat pendedahan seperti itu.
"Pergilah jumpa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak-pihak yang berkuasa," katanya sambil menambah adalah lebih baik para pemimpin membuat pengumuman apa yang mahu dibuat untuk pembangunan demi kebaikan rakyat.
"Itu yang rakyat nak dengar. Saya rasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya pun ramai kawan-kawan yang letih dengan politik dan ahli politik kerana terlalu banyak berpolitik," katanya.
Semalam, Mohd Rafizi mendedahkan satu surat berkenaan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Okt.
Mohd Rafizi mendakwa projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt. - BERNAMA
#pendedahan Rafizi #Kementerian Alam Sekitar dan Air #Tuan Ibrahim Tuan Man #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
;