Supermoon tarik perhatian ramai
Bernama
November 15, 2016 09:14 MYT
November 15, 2016 09:14 MYT
Masyarakat Malaysia tidak melepaskan peluang untuk melihat Bulan Penuh Perigee atau fenomena Supermoon dengan mengunjungi beberapa lokasi lapang dengan membawa antara lain kamera dan telefon bimbit untuk merakamkan gambar Supermoon.
Ahli astronomi menyifatkan bulan akan berada pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun dan fenomena ini dijangka berlaku 18 tahun akan datang.
Di SEPANG, lebih 100 pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur klia2) tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Fenomena Supermoon dengan jarak dekat menggunakan teleskop yang disediakan Agensi Angkasa Negara (Angkasa).
Sesi pencerapan Supermoon boleh dilihat pada 7.20 malam sehingga 9.54 malam namun begitu, di klia2, fenomena berkenaan hanya boleh dilihat pada 9.30 malam berikutan langit dilindungi awan.
Orang ramai kelihatan teruja dan mengambil peluang bergambar berlatar belakangkan Supermoon.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahaya.
Di KUALA NERUS, Terengganu, orang ramai berkumpul sejak petang tadi di beberapa lokasi pelancongan, antaranya di Pusat Sains dan Kreativiti, Taman Tamadun Islam, berhampiran Masjid Kristal dan Pantai Tok Jembal.
Rata-rata mereka ditemui Bernama menyatakan rasa keterujaan mereka untuk memerhati keindahan suasana tersebut dan merakam gambar untuk kenang-kenangan.
Seorang eksekutif yang hanya mahu dikenali sebagai Aishah, 40, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang melihat situasi Supermoon setelah membaca mengenai fenomena itu di media sosial.
"Tidak pasti saya masih berpeluang melihatnya lagi atau tidak selepas ini sebab usia saya pada masa itu akan mencecah 58 tahun," katanya yang berkunjung ke Pantai Tok Jembal di sini bersama beberapa rakannya.
Sementara itu seramai 1,000 orang hadir di Pusat Sains dan Kreativiti termasuk pelajar bagi melihat lebih dekat menerusi peralatan yang disediakan.
Bermula pukul 8 hingga 10 malam, petugas di pusat tersebut turut memberi penerangan mengenai keadaan fenomena itu bagi memberi kefahaman lanjut.
Selain itu, beberapa orang masyarakat Thai beragama Buddha yang berada di Terengganu turut mengambil peluang kehadiran Supermoon dengan mengadakan pesta Loy Krathong di sekitar Pulau Warisan, di sini.
Loy Krathong adalah salah satu cara mereka menunjukkan rasa berterima kasih kepada Dewi Air dengan melancarkan bekas berbentuk bunga teratai yang dihias dengan bunga, duit siling, lilin dan colok.
Menurut Angkasa, walaupun fenomena ini pernah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 Sept 2015, namun kejadian kali ini adalah Supermoon terbesar. -- Bernama