'Superman' Hew Kuan Yau ditahan polis bantu siasatan berhubung catatan di Facebook

Astro Awani
Mac 20, 2017 18:13 MYT
Kuan Yau yang juga bekas pengerusi DAP Teluk Intan, didakwa memuat naik poster parodi filem Disney Beauty and the Beast yang disertakan dengan gambar pemimpin negara. - Facebook - @KuanYauHew
Polis Pulau Pinang hari ini menahan bekas ahli DAP Hew Kuan Yau bagi membantu siasatan berhubung satu status yang didakwa menghina pemimpin negara pada 13 Mac lepas di laman Facebook miliknya.
Kuan Yau, yang juga terkenal dengan panggilan “Superman” seorang peminat komik, merupakan kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar, George Town.
Beliau ditahan di muzium itu oleh tiga anggota polis berpakaian biasa kira- kira jam 1.20 petang tadi bagi membantu siasatan.
Kuan Yau yang juga bekas pengerusi DAP Teluk Intan, didakwa memuat naik poster parodi filem Disney Beauty and the Beast yang disertakan dengan gambar pemimpin negara.
Poster parodi Kuan Yau itu dikongsi lebih 5,000 pengguna dengan lebih 700 komen.
Kuan Yau mengumumkan keluar DAP selepas kontroversi beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu.
Sementara itu, Peguam RSN Rayer yang mewakili beliau berkata, penahanan dibuat selepas satu laporan polis berkenaan status tersebut di buat di Kulai, Johor .
Setakat ini, pihaknya dimaklumkan kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi.
Tambahnya,permohonan reman ke atas Kuan Yau dijangka akan dibuat di Johor Bahru esok.
“Superman (Kuan Yau) telah ditahan bagi tujuan siasatan polis dan terdapat laporan polis dibuat di Kulai Johor. Kami tidak dimaklumkan. Saya difahamkan mungkin polis menyiasat sesuatu tentang Facebook posting dan dia ditahan.
“Difahamkan beliau akan dihantar ke Johor Baharu bagi tujuan penyiasatan. Pihak polis tidak membenarkan dia dijamin. Prosiding reman akan dipohon pagi esok, Kami diberitahu dia akan disiasat dibawah Akta Multimedia dan Komunikasi,” katanya selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
#DAP #Facebook #Hew Kuan Yau #RSN Rayer #superman
;