Sunyi bila tiada Adib - Sepupu

Abdul Hadi Che Awang
Disember 17, 2019 17:40 MYT
Mohd Hakim terkenang aktiviti yang gemar dilakukan bersama Muhammad Adib. - Astro AWANI
"Terasa sunyi bila tiada Muhammad Adib, dan apabila disebut atau ditanya mengenainya, rasa rindu itu tiba-tiba akan hadir.”
Itu antara luahan sepupu kepada anggota bomba Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Hakim Mohd Helmi, 17 tahun, memandangkan dia antara individu atau sepupu yang paling rapat dengan arwah terutama ketika berada di kampung.
Jelasnya, aktiviti mengelilingi Kampung Tebengau dan bersiar-siar meluangkan masa melakukan rekreasi di kawasan air terjun merupakan antara aktiviti terindah yang pernah dilakukan bersama arwah.
BACA: Genap setahun pemergian Muhammad Adib... apa seterusnya?
Sikap Muhammad Adib yang sangat rapat dengan ahli keluarga pastinya telah menghadirkan rasa kosong dan sunyi terutama selepas setahun ketiadaan wira negara itu.
"Kita jadi sunyi bila dia tak ada, pergi mana-mana mana pun, kalau tempat tu dia biasa pergi.
“Dia selalu ronda dalam kampung ni. Lepas tu kalau pergi Pulau Bunting atau mana-mana pun dia selalu ikut sekali. Naik motor atau kereta pergi air terjun. Ada (rasa rindu) bila cerita tentang dia. Meremang bulu roma, rasa rindu,” ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang lagi sepupu Muhammad Adib, Ku Maisarah Ku Husin, 26 tahun menyifatkan Allayarham adalah seorang yang sangat ringan tulang.
Menurutnya, Muhammad Adib bukan sahaja suka membantu bapanya menanam padi setiap kali pulang bercuti, malah turut bersama-sama sepupunya yang lain membasuh perahu tatkala mempunyai waktu terluang.
"Adib suka tolong ayah dia di padang (sawah). Sepupu dia pun ada yang pergi ke laut (kerja nelayan), dan (Adib) tolong basuh perahu. Rasa macam dia tu ada lagi, rindu tu memang ada, kami kan sepupu,” imbas Ku Maisarah.
#anggota bomba #kampung tebengau #Muhammad Adib Mohd Kassim #rusuhan kuil #sepupu muhammad adib #setahun pemergian adib
;