Sunway jalin kolaborasi dengan EU, pacu usaha menuju masa depan yang mampan

Israr Khalid
Jun 28, 2024 18:26 MYT
Pengarah Eksekutif Pejabat Pengerusi Kumpulan Sunway Ong Pang Yen dan Timbalan Ketua Misi Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Timo Goosmann seusai memeterai perjanjian kerjasama Sunway-EU.
PETALING JAYA: Kumpulan Sunway memeterai perjanjian dengan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia (EUD) untuk jalinan strategik bagi memacu pelbagai inisiatif kemampanan bersama.
Kolaborasi antara konglomerat terkemuka Asia Tenggara dengan misi diplomatik blok perdagangan terbesar dunia ini menandakan satu pencapaian penting baharu dalam usaha dan komitmen kedua-dua entiti menuju masa depan karbon sifar bersih.
Ancaman sedia ada dan cabaran mendatang disebabkan perubahan iklim menuntut pelan dan tindakan yang bersepadu serta menyeluruh, memastikan setiap aspek yang terlibat berfungsi dengan cekap dan lancar.
Timbalan Ketua Misi Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Timo Goosmann pula memberitahu, EU berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Sunway dalam mempertingkatkan kesedaran terhadap amalan hijau di Malaysia.
“EU telah bekerja bersungguh-sungguh dalam memastikan kemampanan alam sekitar menjadi visi yang dikongsi bersama.
“Di Eropah, EU telah menerima pakai undang-undang iklim Eropah, yang menetapkan bahawa ekonomi dan masyarakat Eropah mesti menjadi neutral iklim menjelang 2050.”
Di Malaysia, EU bekerjasama rapat dengan pelbagai organisasi tempatan untuk menangani kesan perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar, antaranya termasuk menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar, perbandaran pintar dan amalan perniagaan mampan serta usaha berterusan meneroka peluang kolaborasi baharu.
Menurut Pengarah Eksekutif Pejabat Pengerusi Kumpulan Sunway Ong Pang Yen, kerjasama di antara Sunway dengan EU mencerminkan semangat dan komitmen dalam menyahut Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG), terutamanya Matlamat 17: Kerjasama Demi Matlamat.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan EU dan negara ahlinya untuk melakukan sebanyak yang mungkin dalam menjana kemajuan bermakna dan bermatlamat dalam pencapaian SDG di Malaysia, dan seluruh rantau ini.”
Ong dan Goosmann menandatangani Surat Niat untuk merasmikan kerjasama ini pada majlis tandatangan di Sunway City Kuala Lumpur, yang disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Digital dan Strategik Kumpulan Sunway Evan Cheah, serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Belgium di Malaysia Pierrick Massaux.
Sejak berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 tiga tahun yang lalu, Sunway telah menerapkan beberapa inisiatif pengurangan karbon.
Antaranya termasuk strategi penentuan harga karbon dalaman pada semua divisyen perniagaan Kumpulan Sunway, iaitu antara inisiatif pertama yang seumpamanya di benua Asia, serta program perkongsian pajakan hijau antara penyewa dan pemajak menerusi Amanah Pelaburan Hartanahnya.
Tahun ini, Sunway akan meneraju inisiatif unik untuk menangani kemiskinan bandar menerusi projek Cerapan Komuniti Desa Mentari.
Pasukan pelbagai sektor yang terdiri daripada sektor swasta, masyarakat sivil dan institusi-institusi pendidikan akan bekerjasama membentuk pendekatan menyeluruh berteraskan data untuk menyelesaikan isu-isu kualiti hidup di Desa Mentari, sebuah skim perumahan awam di Subang Jaya yang didiami oleh hampir 30,000 penduduk.
“Selalunya kita menjalankan projek Tanggungjawab Sosial Korporat sekadar sekali jalan dan kita tidak dapat mengukur impaknya dengan baik kerana tidak melibatkan pengumpulan dan analisis data.
“Dengan data, kita akan dapat menambah baik metodologi intervensi untuk menghasilkan penyelesaian kepada masalah yang berlaku dalam komuniti terbabit.”
Tegas Ong, sebahagian besar tenaga dan sumber kini ditumpukan untuk memastikan pendedahan tentang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus difahami oleh semua.
Namun beliau juga percaya bahawa perlu ada keseriusan dalam mencari, mencipta dan menyediakan penyelesaian kepada masalah hari ini.
Lanjutnya, usaha menjayakan SDG bukanlah sesuatu yang mudah tatkala negara maju menyeru seluruh dunia untuk bersama dalam menjayakan agenda ini, maka mereka perlu lebih serius untuk membantu dan membimbing negara lain terutamanya yang masih membangun.
“Oleh itu, kita perlu melibatkan syarikat-syarikat dan delegasi EU untuk merapatkan jurang ini pada ketika ini, kerana usaha membiayai SDG dikenalpasti sebagai satu faktor kritikal jika kita mahu menggerak para pemimpin SDG.
“Syukur, terdapat banyak syarikat dan institusi yang berfikiran sama jadi kami tidak perlu bertindak bersendirian. Kita perlu berganding bahu untuk mencapai lebih banyak kejayaan bersama.”
#Sunway #European Union #EU #SDG #ESG
;