Suntikan vaksin tidak jejaskan fizikal dan mental kanak-kanak - Pakar

Rahimah Abdullah
Jun 25, 2015 06:16 MYT
SEE: Sehingga kini, tiada bukti saintifik yang berjaya membuktikan masalah-masalah yang dibangkitkan sesetengah pihak. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Ibu bapa digesa tidak terpengaruh dengan spekulasi kononnya suntikan vaksin menjejaskan fizikal dan mental kanak-kanak.
Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Sg Buloh, Dr. See Kwee Ching berkata, sehingga kini, tiada bukti saintifik yang berjaya membuktikan masalah-masalah seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak.
"Saya tahu ramai ibu bapa yang mengambil berat tentang perkara itu tetapi kadang-kadang mereka mempunyai pendapat yang berbeza. Namun, ini boleh diatasi dengan perbincangan kenapa timbul masalah ini,"
"Tidak ada bukti-bukti saintifik yang bernas yang vaksin ini menyebabkan masalah-masalah yang dikaitkan," katanya kepada Astro AWANI selepas sesi Meja Bulat bersama media di sebuah hotel, di ibu negara hari ini.
Tambahnya, imunisasi sangat penting terutama kepada kanak-kanak dan mencegah penularan wabak penyakit yang berlaku seluruh dunia.
"Kita kena ingat di zaman 2000-an dalam abad ke-21 ini, jangka hayat hidup ialah 70 ke 80 tahun. Ini dengan bantuan vaksin dan teknologi. Sebelum ada vaksin hidup manusia hanya 40 ke 50 tahun sahaja,"
"Jadi saya minta ibu bapa pertimbangkan dan mengambil berat tentang proses imunisasi anak-anak mereka," ujar beliau.
Dr. See juga mengingatkan ibu bapa agar mendapatkan maklumat yang tepat daripada pakar yang terlibat agar kebaikan imunisasi kepada kanak-kanak tidak disalahertikan.
"Banyak perkara sekarang di media boleh diwar-warkan, vaksinasi merupakan suatu yang penting bagi kanak-kanak yang sedang membesar di Malaysia,"
Isu menolak suntikan vaksin kepada kanak-kanak bukan sahaja melibatkan ibu bapa di Malaysia, malah ia turut berlaku di seluruh dunia.
Malah, wujud gerakan anti-vaksin di media sosial bagi menentang penggunaan imunisasi itu yang didakwa memberi kesan menyebabkan kes Autisme, selain memberi kesan kepada perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.
#dr see kwee ching #vaksin