Suntikan RM1.1 bilion bukan dana hangus, dilaksanakan dalam bentuk pinjaman - PM Anwar

Bernama
Mac 13, 2025 10:00 MYT
Perdana Menteri Anwar berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, pada Khamis. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd bukanlah 'dana hangus' tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman yang perlu dibayar semula.
"Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu, mudah-mudahan, akan mengurus dengan lebih baik, mendapat keuntungan dan membayar semula dana suntikan RM1.1 bilion.
"Ia bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman," kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini, hari ini.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui proses ketat termasuk pelaksanaan audit forensik oleh firma perakaunan antarabangsa, Ernst & Young (EY) bagi mengenal pasti masalah sebenar dalam syarikat tersebut.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Kementerian Kewangan #Sapura Energy #suntikan dana RM1 1 bilion #pinjaman
;