Sungkai dilanda banjir kilat, 16 orang dipindahkan

Nazialita Geynna Maharan
Disember 11, 2015 19:54 MYT
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Slim River), Pegawai Bomba Kanan Yusri Abdul Latif berkata kejadian banjir kilat itu melibatkan lapan buah rumah yang dinaiki air sedalam satu meter. - Foto Astro AWANI
Seramai 16 orang di sekitar Felda Trolak Selatan terpaksa berpindah ke penempatan lebih tinggi berikutan kejadian banjir kilat di sekitar kawasan itu pada petang Jumaat.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Slim River), Pegawai Bomba Kanan Yusri Abdul Latif berkata kejadian banjir kilat itu melibatkan lapan buah rumah yang dinaiki air sedalam satu meter.
"Sebenarnya, paras air di kawasan itu meningkat berikutan limpahan air sungai Trolak Selatan dan mangsa terdiri 11 lelaki dan lima perempuan menjadikan jumlahnya 16 orang.
"Buat masa ini,mereka mengambil keputusan untuk pergi ke rumah saudara masing-masing sementara menunggu air turun sehingga paras selamat,"katanya kepada Astro AWANI pada petang Jumaat.
Yusri berkata bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan sepanjang banjir kilat tersebut.
Jelasnya, anggota bomba dan penyelamat juga telah bertindak melakukan pemantauan di sekitar lokasi kejadian untuk memastikan kesemua mangsa banjir yang berpindah, kebanyakannya ke rumah saudara-mara, berada dalam keadaan selamat.
"Operasi tamat sekitar 4.25 petang dan kami juga mendapati paras air semakin surut dan bertambah baik namun pihak kami tetap akan melakukan operasi kawalan dan berjaga-jaga di kesemua kawasan terjejas," katanya lagi.
#banjir kilat #pindah mangsa banjir #Sungkai
;