Sungai Timun berpotensi jadi hab pengeluaran udang galah

Bernama
Mei 25, 2024 07:45 MYT
Jalaluddin (depan) melepaskan benih udang sepit biru sempena Program 'Sopit Biru' Sungai Timun anjuran Pejabat Daerah Rembau, Rembau, 25 Mei 2024. --fotoBERNAMA
REMBAU: Sungai Timun berpontensi dijadikan hab pengeluaran udang galah atau dikenali sebagai sepit biru sekali gus merancakkan ekopelancongan di Negeri Sembilan.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata dalam usaha itu, kerajaan negeri akan memastikan perlepasan benih udang galah liar dapat dilakukan dengan lebih terancang mengikut jadual ditetapkan di sungai tersebut.
Menurutnya pihak Jabatan Perikanan negeri juga perlu mengadakan kerjasama dengan Pejabat Daerah Rembau agar ekopelancongan Sungai Timun ini dapat dibangunkan dengan lebih baik serta meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
"Sungai Timun boleh dijadikan sebagai hab udang galah di negeri ini seperti di Sarawak dan Pahang. Dua negeri ini ada hab yang mana pengeluaran udang galah diperolehi secara terbuka.
"Apabila ekopelancongan ini dapat dikembangkan dengan baik, ia dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat selain dapat mempromosi produk tempatan negeri ini," katanya kepada pemberita pada Program 'Sopit Biru' Sungai Timun anjuran Pejabat Daerah Rembau.
Jalaluddin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup berkata agensi terlibat perlu memberikan pendedahan ilmu ternakan udang galah yang lebih spesifik supaya mendapatkan hasil berkualiti.
Beliau berkata perlepasan udang galah juga memerlukan jadual lebih tersusun supaya bekalan udang tersebut sentiasa mencukupi sekali gus menarik lebih ramai lagi pemburu hasil hidupan air tawar itu dari seluruh negara.
"Seperti di Thailand, udang galah dihasilkan berkualiti dan pengeluaran mengikut jadual... tidak mustahil negeri ini menuju ke arah itu. Sebagai contoh daripada jumlah 64,000 benih udang dilepaskan, mungkin 70 peratus daripadanya dapat dituai, jadi terdapat keperluan setiap tiga bulan selepas itu, perlepasan benih dilakukan lagi," katanya.
Beliau berkata dengan usaha yang konsisten, pengeluaran udang galah tidak akan putus dan Sungai Timun menjadi satu lokaliti udang galah untuk pengunjung luar.
-- BERNAMA
#Sungai Timun #udang galah #hab pengeluaran #jalaluddin alias
;