Sungai melimpah, Taman Rekreasi Gua Kelam ditutup
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 13, 2020 21:46 MYT
Oktober 13, 2020 21:46 MYT
KANGAR: Taman Rekreasi Gua Kelam di tutup bermula hari ini sehingga suatu tarikh akan dimaklumkan kelak berikutan paras air di dalam gua meningkat mendadak sehingga melimpah akibat hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni, penutupan itu bagi memastikan keselamatan pengunjung.
"Semua aktiviti di kawasan Gua Kelam ditutup kerana mempunyai tinggi sekiranya dibuka kepada orang awam," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Mejar (PA) Mohd Farid Ishak berkata, beberapa kawasan di sekitar negeri ini mula dinaiki air sejak pagi tadi namun terkawal.
"Beberapa lokasi membabitkan kawasan Ulu Pauh, Kampung Sentua Utan Aji dan Wang Kelian mula dinaiki air namun sekadar limpahan air yang melalui kawasan tertentu sahaja dan tiada kerja pemindahan penduduk dilakukan.
"APM negeri menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memantau keadaan yang berisiko dan berpotensi tinggi untuk banjir jika hujan lebat berterusan," katanya.
Katanya, bacaan tadahan hujan direkodkan di Stesen Chuping dari 7 Oktober hingga hari ini mencatatkan 141.8mm.
Pemantauan daripada Stesen Hujan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri menunjukkan bacaan tadahan hujan Oktober meningkat pada bacaan tadahan mingguan berbanding bacaan tadahan bulanan.