Sungai Lembing: Bandar mati hidup semula (Bahagian 2)
Nuradilla Noorazam
Ogos 22, 2016 15:00 MYT
Ogos 22, 2016 15:00 MYT
Artikel ini ialah sambungan daripada bahagian pertama Laporan Khas oleh wartawan Astro AWANI Nuradilla Noorazam yang berkunjung ke Sungai Lembing bagi meninjau kehidupan penduduk pasca era kegemilangan perlombongan bijih timah.
Tinjauan ini bagi mendengar sendiri kisah suka duka penduduk yang masih menetap di pekan kecil ini yang satu ketika dahulu pernah digelar "El Dorado of Asia."
Ikuti temu bual eksklusif penulis dengan beberapa bekas pekerja lombong ketika pekan Sungai Lembing berada di zaman kegemilangannya.
YAP Yoon Nan, 84, ialah antara bekas pelombong yang masih tinggal di Sungai Lembing selepas zaman kejatuhannya.
Beliau kini mengusahakan sebuah kedai jam kecil yang dibukanya berbekalkan hasil wang simpanan sebagai pekerja lombong dahulu.
"Masa muda dulu, saya kerja lombong. Saya masuk dalam kolong, dan semasa saya bekerja ada banyak lombong dalam. Sekarang sudah tenggelam sampai tidak boleh masuk.
"Dulu pekerja lombong diambil dalam bentuk kontrak. Kerja memang banyak dan bila jumpa bijih, boleh dapat dalam RM200 hingga RM300 sekali, tapi kerjanya sangat susah. Bila masuk kolong, keadaan sangat panas walaupun tidak pakai baju.
"Dulu masa orang putih jaga, barang murah dan barang diimport dari luar tidak dikenakan cukai. Bila sudah merdeka, orang putih pun dah tak ada," kata Yap.
Bagi Mohamad Sharif Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Pak Itam, beliau merupakan antara pelombong terakhir yang bekerja di Sungai Lembing sebelum harga timah jatuh merudum.
"Semasa Sungai Lembing tengah maju dahulu, ia lebih terkenal daripada Kuantan, seolah-seolah sebuah kerajaan tempatan sendiri. Semuanya teratur.
"Contohnya apabila berlaku banjir, kerajaan tempatan akan beri penduduk kupon makanan dan kawasan komersial yang dibina cukup dengan pelbagai barang seperti pakaian, makanan dan sebagainya sehingga penduduk tidak perlu ke tempat lain," kata Pak Itam.
Pak Itam yang juga pernah menjadi ketua kampung di Sungai Lembing berkata sewaktu lombong mula ditutup, penduduk berdepan satu kejutan besar kerana selama ini mereka percaya bahawa industri perlombongan timah tidak akan mati. Walaupun era kegemilangannya hanya tinggal kenangan, Sungai Lembing kini diberi nafas baharu melalui kegiatan pelancongan yang semakin membangun.
Tapak bersejarah seperti lombong bijih timah, rumah agam dan suasana alam semulajadi sekitarnya menjana satu bentuk industri baharu yang menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara.
Sungai Lembing yang dahulunya lesu dan kosong kini kembali bernyawa.
Deretan rumah-rumah kedai tampak meriah dengan pelbagai rencah pelanggan, manakala beberapa buah bas bersusun membawa pelancong dari negara China dan Singapura yang mahu menikmati sendiri suasana di sini.
Penduduk kampung yang dahulunya tidak bekerja kini menjadi pemandu pelancong, dan ada yang memulakan perniagaan berasaskan pelancongan seperti mengadakan khidmat ekspedisi kenderaan 4x4 ke kawasan air terjun.
Pengarah Jabatan Pembangunan Sukan dan Pelancongan Majlis Perbandaran Kuantan, Rose Shamsul Abdul Razak berkata tapak bersejarah di Sungai Lembing ialah tarikan utama pelancong yang ingin melihat sendiri satu-satunya lombong bawah tanah di benua itu.
"Keadaan ini disedari kerajaan negeri di mana kita cuba kembalikan zaman kegemilangannya dalam bentuk yang berbeza selain daripada perlombongan bijih timah. Banyak usaha yang kita sedang buat, contohnya dengan mengadakan aktiviti promosi dan program pelancongan berkenaan Sungai Lembing bagi menarik pelancong.
"Kita dapat lihat hasilnya sekarang apabila sudah ramai yang menyedari lokasi Sungai Lembing ini sebagai kawasan pelancongan. Perkara ini banyak memberi peluang pekerjaan baharu kepada penduduk terutamanya dalam bidang perhotelan, homestay, dan aktiviti pelancongan," katanya.
Pengasas hotel popular Time Capsule Retreat, Kevin Young berkata keindahan alam sekitar di Sungai Lembing juga sangat menarik, terutamanya bagi warga kota yang cuba lari dari kesibukan kerja.
"Selain sejarahnya yang sangat menarik, ada juga jambatan gantung dan air terjun pelangi yang popular dan menarik buat pelancong.
"Ramai pelanggan saya bila datang ke sini mahu ke tempat-tempat seperti ini dan yang paling menarik masih ramai yang tidak tahu akan tarikan ini, menyebabkan ia menjadi sesuatu yang istimewa," katanya.
Anak kelahiran Kuantan ini berkata sejarah dan lokasi-lokasi menarik Sungai Lembing harus dikongsi dengan orang ramai yang rata-rata masih belum tahu mengenainya.
Apa yang pasti Sungai Lembing kini kembali hidup dan mula menjadi penjana rezeki kepada penduduk setempat.
Kisah kebangkitan Sungai Lembing boleh menjadi teladan kepada bandar-bandar 'mati' lain di seluruh negara yang pernah berkongsi nasib suram dengannya.