Sungai Klang mampu jadi sumber air untuk isi rumah, industri Selangor - Amirudin Shari

Ridauddin Daud
Julai 2, 2020 16:10 MYT
Menteri Besar Selangor pada sidang media sempena majlis penyampaian hadiah kepada pemenang 'SMG water you doing? Show Us Your Art' di Bangunan SUK Selangor , Shah Alam. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari optimis Sungai Klang mampu menjadi antara pembekal sumber air buat industri dan isi rumah di negeri itu pada masa depan.
Menurutnya, hasrat itu mampu dipenuhi sekiranya semua perancangan direncana kerajaan negeri sejak beberapa tahun lepas berjalan lancar.
Tambah beliau, ia seakan satu misi yang mustahil pada peringkat awalnya namun selepas beberapa tahun, Amirudin yakin kerajaan negeri mampu melakukannya.
“Setelah beberapa tahun, saya percaya kita boleh sampai ke tahap menjadikan Sungai Klang sebagai salah satu daripada sumber air kepada industri dan isi rumah kepada negeri jika segala perancangan berjalan dengan baik.
“Malah kita dapat tingkatkan kualiti dan pembangunan di sepanjang Sungai Klang,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Melukis Komik ‘SMG Water You Doing’ di sini pada Khamis.
Peraduan anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) itu bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan penjagaan sungai berdasarkan satu daripada tiga tema - ‘Hentikan Pencemaran Sungai’, ‘Jadilah Penjaga Sungai’ atau ‘Sungai Bersih, Masa Depan Kita’.
Dalam pada itu, keyakinan Amirudin bersandarkan kepada kejayaan program pembersihan dan pemuliharaan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang menurut beliau, projek itu dilihat berjaya meningkatkan kualiti air sungai tersebut.
“Ada perkembangan positif mengenai SMG iaitu kualiti air meningkat dari tahap empat ke tahap tiga dan mungkin boleh meningkat ke tahap dua dalam masa terdekat. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada petanda positif dari segi kebersihan.
“Secara keseluruhan, dari hari pertama kita pasang ‘lock boom’ untuk perangkap sampah di muara dan hulu sungai, kita dapati jumlah sampah berkurang dengan sangat signifikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Sungai Klang yang dahulunya diklasifikasikan sebagai tercemar, sudah berubah wajah dan semakin pulih hasil program pembersihan dan pemuliharaan projek SMGmenerusi inisiatif Menteri Besar Incorporated (MBI).
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata, program yang dilaksanakan sejak 2016 itu berjaya meningkatkan kualiti air selain dapat mengembalikan ekosistem semula jadi di sepanjang kawasan sungai itu.
#air #Amirudin Shari #Astro Awani #kerajaan #Klang #menteri #Menteri Besar #perintah kawalan pergerakan #PKP #rumah #sungai klang
;