Sungai Kandis bertukar biru bukan punca dari kilang - JAS

Sinar Harian
Jun 2, 2024 15:27 MYT
JAS Selangor percaya aliran air berwarna biru yang dikesan pada Sabtu berpunca daripada pembuangan bahan berwarna pihak tidak bertanggungjawab. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor percaya aliran air berwarna biru ke Sungai Kandis yang dikesan pada Sabtu berpunca daripada pembuangan bahan berwarna pihak tidak bertanggungjawab.

Ringkasan AI
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati aliran air berwarna biru ke Sungai Kandis dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan berwarna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
  • Siasatan di lokasi dan menemui kesan percikan daripada pembuangan bahan berwarna dipercayai dilakukan pihak tertentu secara 'one-off', dan bukannya daripada pelepasan kilang-kilang di situ.
  • JAS telah mengambil sampel air untuk menentukan komposisi dan mencari pemadanan selain meningkatkan pemantauan.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan JAS mendapati pelaku dipercayai membuang bahan berwarna itu pada waktu malam atau awal pagi secara 'one off'.
“Pegawai JAS membuat pemeriksaan ke lokasi semalam (Sabtu), kes masih dalam siasatan untuk mengesan pelaku.
"Di lokasi terbabit, kita ada menemui kesan percikan daripada pembuangan bahan berwarna yang dipercayai dibuang melalui saluran paip (hose).
“Siasatan juga mendapati punca bukan daripada pelepasan kilang-kilang di situ, sebaliknya JAS mengesyaki ada pihak membuang di situ secara ‘one-off’,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan aliran air berwarna biru dikesan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang.
Aziah bagaimanapun berkata, lokasi sebenar adalah di Jalan Tayar 34/12, Taman Perindustrian Bukit Kemuning dan sampel sudah diambil untuk menentukan komposisi serta mencari pemadanan manakala sungai itu mempunyai kesan warna biru setakat petang Sabtu.
Ujarnya lagi, JAS akan terus meningkatkan pemantauan kerana kejadian seperti itu berulang semula.
“Hari ini, pegawai JAS masih ke lokasi untuk melihat keadaan sungai memandangkan petang semalam hujan lebat di kawasan itu," tambahnya. -Sinar Harian
#Jabatan Alam Sekitar #sungai kandis #air bertukar biru #bukan buangan kilang
;