Sungai Galas, Lebir mulai melimpah, penduduk di Gua Musang diarah siap sedia

Sinar Harian
Disember 10, 2024 10:30 MYT
APM Gua Musang memantau keadaan terkini sungai di Gua Musang ekoran hujan lebat berterusan sejak malam Isnin. - Foto Sinar Harian
GUA MUSANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang mengarahkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir untuk siap sedia berpindah susulan paras air Sungai Lebir dan Galas yang semakin meningkat.
Pegawai APM Gua Musang, Leftenan Mohd Hanafi Mohd Bokri berkata, berpandukan situasi terkini paras air sungai dilihat naik dengan begitu cepat.
"Kami di sini dalam keadaan berjaga-jaga, bagaimanapun penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan agar sentiasa peka dengan arahan semasa pihak berkuasa.
"Jika diarahkan pindah awal, sila bawa barangan peribadi serta ubat-ubatan bersama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau, kawasan Sungai Galas yang berisiko dilanda banjir ialah Kampung Lembaga, serta Ciku, Paloh dan Aring (Sungai Lebir). - Sinar Harian
#banjir2024 #monsun timur laut #Bah Kuning #paras air sungai
;