Sungai Bernam pilihan lebih baik berbanding Sungai Klang - Pakar
Rahimah Abdullah
Ogos 18, 2020 19:30 MYT
Ogos 18, 2020 19:30 MYT
Tiada masalah untuk menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air bagi kegunaan rakyat Selangor pada masa hadapan, ujar pakar kualiti air, Profesor Dr Maketab Mohamed.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, Sungai Bernam adalah pilihan lebih baik berbanding Sungai Klang.
"Sungai Bernam sepatutnya pilihan terbaik (sebagai sumber bekalan air) walaupun pengangkutannya ke Selatan mungkin ada kosnya," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Beliau mengulas cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menjadikan Sungai Klang antara sumber bekalan air bagi kegunaan rakyat negeri itu pada masa hadapan.
Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor boleh berbincang dengan Kerajaan Negeri Perak bagi tujuan gunasama sumber air Sg Bernam.
"Sungai Bernam yang bersempadan antara Perak dan Selangor cukup besar dan kualiti airnya bersih, walaupun kawasan tadahan air itu berada di Perak," jelasnya.
Walaupun jaraknya agak jauh, namun jelasnya, kualiti air Sungai Bernam masih pada tahap Kelas 2A.
Pada Kelas 2A, ia hanya memerlukan rawatan konvensional.
Sungai Klang ketika ini kebiasaannya berada pada tahap Kelas 4 pada setiap masa, dan boleh mencapai tahap terbaik pada Kelas 3.
"Pada Kelas 3, rawatan yang ditetapkan untuk kegunaan domestik dan untuk diminum adalah rawatan lanjutan yang memerlukan teknologi seperti teknologi membran. Rawatan air standard tidak mencukupi," ujar beliau.
Bagaimanapun, jika Kerajaan Negeri Selangor masih bercadang untuk menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air pada masa hadapan, dua lagi pilihan boleh dilakukan.
Pertama, ia boleh dilakukan jika ada sistem rawatan air yang lebih canggih.
"Sungai Klang terutamanya di sebelah hilirnya paling baik kualitinya hanya sampai tahap Kelas 3, manakala jika musim kemarau boleh turun ke Kelas 4, bermakna pengolahan untuk air minuman domestik wajib menggunakan sistem yang tercanggih (advanced treatment system) yang memerlukan penggunaan membran yang sudah tentu lebih mahal," tambahnya lagi.
Manakala pilihan kedua, cadangan itu boleh dilaksanakan jika program Pembersihan Sungai Klang sehingga tahap Kelas 2A tercapai, dan kemudian boleh menggunakan sistem pengolahan yang konvensional.
Untuk rekod, kelas sungai dikategorikan JAS ialah Kelas 1 (Dalam keadaan semulajadi), Kelas 2A (Air memerlukan rawatan konvensional), Kelas 2B (Air boleh digunakan untuk rekreasi), Kelas 3 (Air memerlukan rawatan intensif), Kelas 4 (Hanya untuk tujuan pengairan dan Kelas 5 (Air yang tercemar teruk).