Sumber air mentah perlu dipelbagaikan bagi atasi masalah bekalan air - Pakar

Astro Awani
Mei 23, 2023 22:41 MYT
Azuhan menjelaskan, banyak negara-negara lain yang telah mempelbagai sumber air mentah mereka untuk digunakan ketika musim kemarau berpanjangan yang menjejaskan bekalan air. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk sumber air mentah dipelbagaikan bagi mengatasi masalah air yang sering berlaku di negara ini.
Menurut Profesional Persekitaran Air, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed, masih belum terlambat untuk pihak berkenaan mempelbagaikan sumber air mentah.
Azuhan menjelaskan, banyak negara-negara lain yang telah mempelbagai sumber air mentah mereka untuk digunakan ketika musim kemarau berpanjangan yang menjejaskan bekalan air.
"Kita belum terlambat untuk mempelbagaikan sumber air mentah untuk dijadikan bekalan jika berlakunya masalah air.
"Disebabkan kita ada air hujan terlampau banyak, kita lupa yang kita perlu mempelbagai sumber air kerana di suatu masa nanti kemarau akan menjadi teruk dan kita tak akan ada air.
"Jadi, di sini saya tegaskan kita perlu perancangan yang rapi untuk membangunkan sumber air tanah negara supaya ia dapat digunakan secara mapan," katanya.
Mengulas lanjut, Azuhan berpendapat sudah tiba masanya tarif air dinaikkan di seluruh negara bagi menampung kos pengurusan air yang tinggi.
"Pandangan saya adalah sangat wajar untuk kerajaan meningkatkan atau menaikkan tarif air di seluruh negara, maksudnya naikkan serentaj.
"Saya pun tidak faham kenapa kerajaan teragak-agak untuk tingkatkan tarif air biarpun tahu tarif yang ada sekarang agak rendah dan kos pengurusan air sangat tinggi.
"Jadi, pada saya, kerajaan tidak kira kerajaan pusat atau negeri dan tanpa mengira kerajaan parti mana sekalipun perlu tingkatkan tarif air demi untuk masa depan negara kita.
"Perkara ini perlu dilakukan untuk jaminan bekalan air kita, kita tingkat secara keseluruhan di seluruh negara," katanya lagi.
Beliau mencadangkan subsidi bersasar boleh dilaksanakan bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan tidak terkesan dengan kenaikkan tarif air.
Azuhan berkata demikian dalam rancangan Agenda Awani yang membincangkan masalah air yang sering melanda.
#bekalan air #air mentah #tarif air #Azuhan Mohamed
;