'Sumbat' vape di mulut bayi, seorang lelaki ditahan
Muhammad Aiman Hakeem
Ogos 8, 2022 21:45 MYT
Ogos 8, 2022 21:45 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang bertindak meletakkan vape pada mulut bayi berusia 7 bulan dalam satu kejadian tular di media sosial sebelum ini, ditahan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Polis, Rupiah Abd Wahid berkata, penahanan terhadap suspek yang berusia 28 tahun itu dibuat pada jam 12.45 tengah hari pada Isnin.
"Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan polis berkenaan kejadian tersebut pada 6 Ogos 2022 jam lebih kurang 2.56 petang yang dibuat oleh ibu kepada bayi berkenaan.
"Suspek adalah kenalan kepada adik perempuan pengadu. Ketika kejadian, ibu bersama bayinya (mangsa) dan adik perempuannya serta suspek sedang berada di kedai makan di sekitar Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
"Suspek yang memangku mangsa kemudiannya dengan niat bergurau telah meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut mangsa dan kejadian itu telah dirakam oleh adik perempuannya.
"Rakaman itu telah dimuat naik adik perempuannya di laman media sosial dan telah tular. Video mendapat kecaman oleh netizen," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, penahanan terhadap lelaki berkenaan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Johor Bahru Utara.
"Suspek yang juga seorang peniaga akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Selasa bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.
"Kertas siasatan bagi kes ini telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya lagi.