Sumbat 20 PATI dalam MPV, 2 tekong warga tempatan ditahan

Wanna Abd Rahim
Jun 10, 2022 04:15 MYT
Seramai 20 PATI warga Myanmar yang berhimpit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna MPV ditahan bersama dua tekong di Kampung Tasek Berangan jam 12.30 tengah malam tadi. -Astro AWANI
PASIR MAS: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang berhimpit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Estima ditahan di Kampung Tasek Berangan, di sini, jam 12.30 tengah malam tadi.
Pegawai Pemerintah Medan Ops Wawasan Kelantan, Deputi Superintendan K Ramesh, penahanan itu dibuat selepas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am terserempak dengan kenderaan terbabit di persimpangan Kampung Pok Jak.
"Selepas diekori anggota, salah seorang penumpang warga tempatan dilihat keluar untuk melarikan diri sebaik kenderaan berhenti, namun berjaya dikejar dan ditahan anggota bertugas.
"Terdapat 20 penumpang warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia 17 sehingga 35 tahun.
"Manakala, dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun turut ditahan, yang mana salah seorang bertindak sebagai pemandu," katanya dalam satu kenyataan..
PATI yang berada di dalam kenderaan berkenaan dipaksa berhimpit dengan tempat duduk bahagian belakang MPV berkenaan ditanggalkan.
K Ramesh berkata, hasil siasatan mendapati kesemua warga Myanmar berkenaan tidak mempunyai pasport atau kad perjalanan yang sah selain mengakui memasuki sempadan negara melalui pangkalan haram yang tidak diwartakan.
Dua tekong dan 20 PATI ditahan dan di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 serta Seksyen 1(C) Imigresen 1953/1969.
Kesemua pendatang asing itu dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai sebelum ditempatkan sementara di lokasi sepanjang Sungai Golok.
"PATI berkenaan akan dibawa oleh tekong darat yang sedia menunggu menggunakan kenderaan pelbagai guna itu untuk dihantar ke Kuala Lumpur bagi tujuan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk sebagai buruh dan pekerja kilang," katanya.
#pendatang asing #PATI warga Myanmar #berhimpit dalam kereta #MPV Toyota Estima