Sumbangan Tunai Rahmah fasa dua dibayar sebelum Aidilfitri - PM
Umavathi Ramayah
Mac 14, 2023 12:18 MYT
Mac 14, 2023 12:18 MYT
KUALA LUMPUR: Berita baik kepada penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa kedua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pembayaran STR kepada golongan B40 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sehubungan itu, beliau meminta individu yang layak supaya membuat permohonan sebelum 31 Mac ini bagi membolehkan bantuan tersebut dikreditkan pada waktu yang tepat.
"Saya telah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan supaya meringankan mereka dengan bantuan STR fasa kedua yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadhan atau awal April.
"Kita akan keluarkan fasa dua ini untuk golongan B40 mendapat STR," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah penambahbaikan kepada STR berbanding bantuan diberikan sebelum ini.
Anwar Ibrahim memaklumkan, setakat 13 Mac ini, kerajaan menerima 320,103 lagi permohonan baharu.