Sumbangan syarikat arak untuk konsert amal, bukan kepada sekolah - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 26, 2024 10:17 MYT
Ahmad Zahid berkata konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah. - Bernama
KOTA TINGGI: Tajaan syarikat minuman keras kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, Selangor baru-baru ini adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah, namun wujud persepsi bahawa sumbangan itu adalah untuk dana sekolah.
"Apa yang dilakukan adalah penajaan terhadap 'event' (konsert amal) yang dibuat oleh syarikat itu. Ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah.
"Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut bahawa sumbangan daripada syarikat minuman keras itu disalurkan kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan rumusan di Program Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sebuah hotel dekat sini hari ini.
Baru-baru ini kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan bagi membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lepas itu dikatakan turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.
Ia menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahukan siasatan dilakukan dan menyokong langkah Kementerian Pendidikan melarang sumbangan membabitkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras kepada sekolah.
Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 jelas menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh membabitkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani.
Susulan itu jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan telah dibincangkan dalam Kabinet, namun kerajaan menyerahkan kepada menteri berkenaan, Fadhlina Sidek untuk menjawab persoalan mengenai perkara itu.
KPM dalam kenyataan sebelum ini memberitahu pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut, selain turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
-- BERNAMA
#sumbangan #syarikat minuman keras #konsert amal #PIBG #Ahmad Zahid Hamidi